JAUHILAH "GHIBAH"
USTAZAH
MAZNAH DAUD
Adakah
anda termasuk dalam kalangan mereka yang gemarkan ghibah?
Ghibah
merupakan penyakit yang sangat berbahaya, yang boleh menghancurkan manusia dan
menghapuskan segala kebaikan yang dilakukannya.
Apa
itu ghibah?
Rasulullah
sallallahu alaihi wasallam menerangkan erti ghibah dalam sepotong hadis yang
bermaksud: “Engkau menyebut tentang saudaramu apa yang tidak
disukainya. Sekiranya apa yang engkau sebut itu ada padanya, maka sesungguhnya
engkau benar-benar telah meghibahnya. Dan sekiranya apa yang engkau sebut itu
tidak ada pada dirinya maka sesungguhnya engkau telah mereka-reka cerita
tentangnya.”
(Riwayat
Muslim)
Ghibah
adalah haram dan termasuk dalam kategori al-kabaer (dosa-dosa besar). Firman
Allah Taala bermaksud:
“...dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”
(Al-Hujurat:12)
Ibn
Abbas radiallahuanhu menjelaskan maksud ayat ini dengan katanya, “Allah
mengharamkan ghibah atau memperkatakan sesuatu keburukan seseorang mukmin
sebagaimana Dia mengharamkan bangkai.”
Menurut
al-Hasan al-Basri rahimahullah, “Terdapat tiga istilah yang berkaitan
antara satu sama lain dalam al-Quran, iaitu ghibah, ifk dan buhtan. Ghibah
ialah engkau mengatakan sesuatu yang ada pada saudaramu, ifk ialah engkau
berkata tentang apa yang disampaikan kepadamu dan buhtan ialah engkau
mereka-reka apa yang tidak ada padanya.”
Bahaya
ghibah:
1.
Penyebab kepada azab kubur. Al-Bukhari meriwatkan daripada Ibn Abbas
radiallahuanhu bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam melintasi dua buah kubur,
lantas baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya kedua-dua ahli kubur
ini sedang diseksa. Mereka tidak diseksa kerana sesuatu yang besar (pada
pandangan manusia). Yang seorang ini diseksa kerana tidak berselindung ketika
kencing. Adapun yang seorang lagi selalu berjalan membawa cerita yang tidak
baik tentang orang lain.”
2.
Jatuh muflis. Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya para sahabat radiallahu
anhum: “Tahukah kamu apa makna muflis?” Mereka menjawab:
“Muflis pada fahaman kami ialah orang yang tiada dirham dan tiada apa-apa
harta yang dimilikinya.” Baginda menerangkan (maksudnya): “Muflis
dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti membawa
pahala solat, puasa dan zakat. Di samping itu dia pernah mencela orang ini,
mengqazaf orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan
memukul orang ini. Lalu diberikan kepada setiap orang itu sebahagian daripada
hasanahnya sehingga habis semuanya sebelum setiap orang yang disakitinya
menerima habuan masing-masing. Maka diambil sebahagian daripada dosa-dosa
mereka dan dicampakkan ke atasnya kemudian dia dihumbankan ke dalam
neraka.” (Riwayat Muslim)
3.
Orang yang ghibah akan menyiksa diri dengan tangannya sendiri sebagaimana
diceritakan di dalam kisah Israk dan Mikraj. “Ketika aku di-Mikrajkan,
aku melintasi satu kaum yang memiliki kuku tembaga. Mereka mencakar-cakar muka
dan dada mereka sendiri. Aku bertanya, “Siapakah mereka ini ya
Jibril?” Jibril berkata, “Mereka adalah orang yang memakan daging
manusia dan menjatuhkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Dawud)
4.
Iman tidak masuk ke dalam hati dan dia tidak akan mengecapi kemanisannya. Nabi
sallallahu alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Wahai orang yang
beriman dengan lidahnya sedangkan iman tidak masuk di dalam hatinya, janganlah
kamu mengumpat kaum Muslimin dan jangan menjejaki dan mendedahkan keaiban
mereka. Sesungguhnya sesiapa menjejaki dan mendedahkan keaiban Muslimin, Allah
akan menjejaki keaibannya. Dan sesiapa yang Allah jejaki keaibannya, Dia akan
membongkarkannya…” (Riwayat Abu Dawud)
Kenapa
manusia boleh terjerumus ke dalam perangkap ghibah?
1.
Lemah iman dan tidak takut kepada Allah. Seseorang yang lemah imannya, tidak
akan mampu mengawal dan menguasai lidahnya.
2.
Berkawan dengan orang yang suka mengumpat. Lantaran itu Rasulullah sallallahu
alaihi wasallam mengingatkan kita agar mendampingi orang yang baik-baik. Sabda
baginda (maksudnya): “Seseorang itu mengikut cara hidup teman rapatnya.
Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa teman rapatnya.”
(Riwayat At-Tirmizi)
3.
Dengki dan iri hati. Dengki merupakan penyakit hati yang terpendam di dalam
diri seseorang. Orang yang dengki tidak senang hati melihat orang lain
memperoleh nikmat daripada Allah dan bercita-cita agar nikmat tersebut segera
hilang, malah kadang-kadang mendorongnya berusaha dengan langkah-langkah
tertentu untuk menghilangkannya.
4.
Cintakan dunia dan berlumba-luma untuk meraih keuntungannya. Al-Fuadhil bin
Iyadh pernah berkata: “Tiada seorang pun yang cintakan pangkat kecuali
dia akan berdengki, berbuat zalim, mencari-cari keaiban manusia dan tidak suka
kebaikan orang lain disebut.” Sesetengah orang tidak melihat kecuali
dirinya. Dia suka mengangkat dirinya dan menyebut keaiban orang lain.
5.
Tidak tahu mengisi masa lapang. Sesetengah manusia berasa seolah-olah dia
mempunyai banyak masa lapang dan tidak tahu mengisinya dengan perkara yang
berfaedah. Lalu masa itu diisi dengan percakapan kosong sehingga terbawa-bawa
kepada mengumpat dan mengorek rahsia orang lain.
Selamatkan
diri daripada dosa ini dengan:
1.
Takut kepada Allah pada setiap masa dan tempat. Bertakwa kepada Allah membantu
kita berhenti daripada mengumpat dan dapat menghapuskan dosa-dosa lalu. Firman
Allah bermaksud: “...Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah
menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala
balasannya.” (At-Talaq: 5)
2.
Sibukkan diri dengan membaiki kelemahan sendiri, jangan asyik memerhati
kelemahan orang lain. Bak kata seorang penyair: “Perhatikanlah dirimu dan
periksa kelemahannya; biarkanlah kekurangan manusia itu diurus oleh
mereka.”
3.
Membaca sirah para sahabat dan salaf as-soleh serta mendampingi orang-orang
yang baik. Dengan itu kita dapat mencontohi akhlak mereka. Kata seorang
penyair: “Tirulah mereka walaupun kamu tidak seperti mereka; sesungguhnya
meniru seseorang tokoh akan membawa kejayaan.”
4.
Muhasabah diri dan mencelanya ketika ia melakukan kesalahan. Itu merupakan cara
yang dianjurkan untuk membaiki kesilapan diri.
5.
Sentiasa menyedari kepentingan taubat daripada dosa ghibah dan sentiasa menanam
azam untuk tidak melakukannya. Minta maaf daripada orang yang pernah kita umpat
dan mohon ampun kepada Allah untuk diri sendiri dan untuk kaum Muslimin
seluruhnya.
Moga-moga
Allah memelihara lidah kita daripada ghibahdan menyelamatkan kita daripada
fitnah dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment