Sunday 15 July 2012

Menentukan Berat Badan Sesuai

Tahukah anda bagaimana hendak menentukan berat badan yang sesuai untuk diri anda? Ini dia satu cara mudah untuk menentukan berat badan yang sesuai.

Untuk Perempuan: Berat badan yang sesuai untuk perempuan dengan ketinggian 5 kaki adalah 100 paun. Untuk setiap satu inci tambahan, tambah 5 paun. Jika anda lebih rendah dari 5 kaki, tolak 5 paun bagi setiap inci di bawah 5 kaki.

Kemudian anda perlu tentukan samada anda mempunyai kerangka badan yang kecil, sederhana atau besar. Caranya, ukur lilit pergelangan tangan anda. Jika ia berukuran 6 inci, anda mempunyai kerangka sederhana. Jesteru berat badan yang dikira tadi tidak perlu diubah. Jika pergelangan tangan anda berukuran kurang dari 6 inci, tolak 10% dari berat yang dikira tadi. Jika melebihi 6 inci, tambah 10% kepada berat badan yang dikira.

Untuk Lelaki: Berat badan yang sesuai untuk lelaki dengan ketinggian 5 kaki adalah 106 paun. Untuk setiap satu inci tambahan, tambah 6 paun. Untuk menentukan samada anda mempunyai kerangka badan yang kecil,sederhana atau besar, ukur lilit pergelangan tangan anda. Jika ia berukuran 7 inci, anda mempunyai kerangka sederhana dan tidak perlu pinda berat badan seperti yang telah dikira. Jika pergelangan tangan anda berukuran kurang dari 7 inci, tolak 10% dari berat yang dikira tadi. Jika melebihi 7 inci, tambah 10% kepada berat badan yang dikira.

Contoh: Tinggi saya 5 kaki 8 inci dan ukur lilit pergelangan tangan saya lebih 7 inci. Jadi berat badan yang sesuai untuk saya ialah (106 + (8 x 6)) x 1.1 = 170 paun (77 kg).

OK, sekarang anda telah mengetahui berat badan yang sesuai untuk anda.Satu dari rahsia untuk mendapat kesihatan yang unggul ialah mempunyai berat badan yang sesuai. Jika berat badan anda lebih tinggi dari berat sesuai, lakukanlah senaman untuk membakar lemak yang tidak diperlukan.

Kanser Payudara - Punca, Gejala dan Rawatan

1. Apa Itu Kanser Payudara?

Kanser payudara terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Ia menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Kebiasaannya tumor terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau duktus.

Kanser payudara meyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser di kalangan wanita. Kanser payudara berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita. Di sepanjang hidupnya seseorang wanita mempunyai risiko mengidap kanser payudara sebanyak 1 dalam 8 dan kemungkinan meninggal dunia akibatnya adalah 1 dalam 28.

2. Pengelasan Kanser Payudara

Kanser payudara dikelaskan mengikut beberapa faktor seperti kanser lain. Faktor yang biasa diambilkira ialah tisu punca, lokasi tumor atau tisu punca, jenis tisu atau histologi, gred tumor, peringkat tumor, kemunculan dan aktiviti tumor, status nodus dan perebakan. Mula-mula sel bertukar struktur tetapi berada di lokasi asal di dalam duktus atau membran basemen lobul. Kemudian berlaku mitosis (penduan sel) dan metastasis (perebakan) melalui membran basemen dan bergerak ke kawasan terpencil di dalam badan.

3. Tanda dan Gejala Kanser Payudara

Pembentukan gumpulan merupakan tanda biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang. Kemungkinan nodul asimptomatik akan muncul sebelum tanda atau gejala lain timbul. Sakit payudara atau mastodinia atau sakit pada gumpulan merupakan satu lagi gejala kanser payudara di peringkat awal. Kemudian tanda-tanda radang seperti sakit, panas, kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa kecil di dalam kulit dan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal. Kulit akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai “peau d’orange”.

Gumpulan mungkin terjadi di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk. Kulit payudara mungkin kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung. Puting mungkin terpusing ke dalam, menjadi merah atau bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal. Apabila ia merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda seperti demam, seram sejuk, sakit tulang dan sendi, sakit kuning, gejala neurologi dan curahan (efusi) pleura. Kelemahan adalah tanda atau gejala awal kanser payudara mungkin tidak kelihatan, justeru kaum wanita perlu mengambil inisiatif membuat diagnosis dengan memeriksa sendiri payudara dan juga menjalani ujian payudara setiap tahun.

4. Peringkat Kanser Payudara

Untuk mendiagnosis kanser payudara, pemerhatian dibuat melalui mamografi atau MRI payudara. Peringkat kanser payudara ditentukan mengikut sifat sel atau tahap pembiakan (proliferasi).

Peringkat 0 atau tumor kanser di tempat asalnya (karsinoma in situ) dikira sebagai risiko kanser payudara tanpa kehadiran penyakit itu sendiri. Karsinoma lobular in situ atau LCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam kelenjar payudara. Karsinoma duktal in situ atau DCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam duktus payudara.

Peringkat I merujuk kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak. Peringkat II juga merujuk kepada kanser payudara pada peringkat di mana ukuran tumor adalah antara 2 hingga 5 sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau kurang dari 2 sentimeter tetapi telah merebak ke nodus limfa ketiak.

Peringkat III ialah di mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak dengan banyaknya ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak ke nodus limfa terpencil di dalam tulang selangka atau tulang dada.

Peringkat IV merujuk kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan dada.

5. Kaedah Rawatan

Rawatan bergantung kepada ciri-ciri atau kelas kanser payudara. Terdapat beberapa jenis rawatan seperti kemoterapi, pembedahan dan homoeopathy (dan lain-lain rawatan alternatif). Prognosis (ramalan) kanser payudara pada peringkat awal selalunya adalah baik, tetapi di peringkat akhir, seperti juga dengan kanser lain adalah tidak baik.

Punca Penyakit Jantung - Benarkah Kolesterol Puncanya?

Saban hari kita diingatkan mengenai bahaya kolesterol, antaranya ia merupakan punca penyakit jantung. Statistik menunjukkan bahawa penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia. Bilangan kematian akibat penyakit jantung di hospital Kerajaan pada tahun 2005 adalah 5,247 orang. Seperti saya, anda juga tentu percaya bahawa kolesterollah punca penyakit jantung.

Kita semua tahu yang kolesterol HDL adalah baik dan kolesterol LDL tidak baik. Kita juga tahu bahawa kolesterol LDL akan terkumpul di dinding arteri dan menyebabkan penyempitan pembuluh darah. Kolesterol HDL datang untuk membersihkan dinding arteri dari kolesterol LDL. Kita juga diberitahu semakin rendah nisbah antara jumlah kolesterol berbanding kolesterol HDL, semakin rendah risiko kita mendapat penyakit jantung.

Tahukah anda bahawa kolesterol LDL sebenarnya bukan tidak baik. Kolesterol LDL dalam keadaan asal adalah baik. Badan kita memerlukannya untuk membina membran sel, bahagian sel yang lain dan berbagai-bagai hormon. Sekiranya kita tidak mendapat cukup kolesterol LDL dari makanan, badan kita sendiri akan membuat kolesterol tersebut. Yang menjadi masalah adalah kehadiran radikal bebas, yang menukar bentuk (mengoksida) kolesterol LDL dan menjadikannya tidak baik. Bekalan anti-oksidan yang cukup akan menyelesaikan masalah tersebut. Anda tidak memerlukan ubat yang mahal untuk menurunkan paras kolesterol LDL dalam tubuh anda.

Anda mungkin terkejut atau tidak percaya jika saya katakan kolesterol bukan penyebab penyakit jantung seperti yang selalu digambarkan oleh media. Mengikut kajian, penyebab sebenar penyakit jantung adalah radang pembuluh darah. Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine keluaran 23 Mac 2000, menunjukkan lebih separuh dari mereka yang mendapat serangan jantung mempunyai paras kolesterol yang normal. Penemuan ini merupakan satu revolusi dalam rawatan dan pencegahan serangan jantung. Daripada berusaha untuk menurunkan paras kolesterol anda sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan punca yang menyebabkan radang pembuluh darah. Cara ini boleh memberi kesan besar dalam pencegahan dan pemulihan penyakit jantung.

Kolesterol LDL bukan satu-satunya penyebab masalah radang pembuluh darah. Penyebab utama radang pembuluh darah adalah sesuatu yang dipanggil homosistein dan radikal bebas. Masalah hanya akan timbul apabila kolesterol LDL dioksida oleh radikal bebas. Tanpa radikal bebas, kolesterol LDL tidak akan bertukar menjadi tidak baik. Pernahkah anda mendengar tentang homosistein? Homosistein adalah bahan yang terhasil ketika tubuh kita menghadam makanan, sama seperti radikal bebas. Masalah akan timbul apabila jumlah homosistein yang dihasilkan adalah berlebihan. Dianggarkan lebih kurang 15% dari semua serangan jantung dan strok di seluruh dunia hari ini disebabkan oleh paras homosistein dalam darah yang tinggi.

Pada tahun 1990, kajian oleh Profesor Dr. Stampfer dari Harvard Public Health School mendapati bahawa sedikit sahaja peningkatan dalam paras homosistein boleh menyebabkan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak tiga kali ganda. Dalam New England Journal of Medicine keluaran Februari 1995 pula, Dr. Jacob Selhub, Ph.D., melaporkan bahawa paras homosistein dalam darah yang tinggi akan meningkatkan risiko penyempitan dua arteri yang membekalkan darah ke otak (yang akan menyebabkan strok). Selain dari itu Dr. Selhub juga melaporkan bahawa pesakit yang mempunyai paras homosistein yang tinggi juga mempunyai paras asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang rendah dalam tubuh mereka.

Kalau dulu dipercayai bahawa punca penyakit jantung dan strok adalah kolesterol, kajian-kajian dijalankan di abad ke 21 telah membuktikan bahawa homosistein merupakan puncanya. Namun begitu kita tidak perlu bersusah hati kerana masalah tersebut dapat diatasi dengan mengambil bekalan anti-oksidan, asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang cukup.

Rujukan:
Buku "What Your Doctor Doesn't Know About Nutritional Medicine May Be Killing You (Apa Yang Doktor Anda Tidak Ketahui Mengenai Ubat Pemakanan Mungkin Membunuh Anda)" karangan Dr. Ray Strand, seorang doktor perubatan.

Beliau menulis buku tersebut selepas mengkaji lebih dari 1,300 kajian klinikal yang diterbitkan di dalam jurnal perubatan terkenal. Apa yang mendorong beliau membuat kajian tersebut adalah setelah melihat isterinya, Liz, sembuh dari penyakit fibromialgia apabila mengambil pemakanan tambahan tertentu. Pakar perubatan tidak berjaya menyembuhkan penyakit Liz dan  Dr. Strand sendiri tidak tahu apa yang beliau boleh lakukan untuk menolongnya. Melihat keadaan isterinya yang begitu menderita dan tiada apa lagi yang beliau boleh lakukan, beliau pun membenarkan Liz mencari rawatan alternatif.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...